Friday, October 19, 2012

Tertekan

Semalam anak buah yang tahun 3 periksa sains katanya.

Saya balik dari kerja dia terus cerita pasal periksanya tu.

"Adik ngan kawan-kawan tension sangat hari ni dengan soalan sains".

Amboi! ayat bukan main power. :D

"Kenapa?"

"Adk main tembak je jawab mukasurat 1, susah sikit".

Bukan semua mukasurat adik tembak ke?

Macamlah acik tak kenal dia kan.



Thursday, October 18, 2012

Berat sama di pikul


Dia dapat banyak racun serangga ini.

Dan kami rasa kami patut beri pada jiran-jiran juga.

Dan kami serahkan urusan pembungkusan pada Azeem dan Ashraf yang nampak sangat teruja untuk menjalankan kerja sukarela.

"Rumah abang-abang depan tu biar acik yang bagi ya". :D

Tuesday, October 16, 2012

Sehari selembar benang


"Abang buat apa tu?"

"Jahit seluar".

Errr....kagumlah :D

"Errr...tolong jahit seluar acik boleh?" 

Beruntung dia sebab belajar kemahiran hidup di sekolah.

Setakat nak jahit seluar yang terkoyak sikit-sikit tu dah pandai dah.

Tak payah nak cari acik lagi.

Errr...acik pandai menjahit ke? 




Friday, October 12, 2012

Separuh jiwaku pergi


"Pin! Pin! Dia dengar orang bunyikan hon depan rumah.

Terkocoh-kocoh dia berlari keluar.

"Ada bungkusan untuk adik", kata abang poslaju.

Dia rasa ingin melompat sampai ke bintang.

Dalam hati dia tertanya-tanya juga siapa yang menghantar bungkusan tepat pada hari jadinya itu.

Abang poslaju hulur pen, dia sambut dengan senyum paling manis di dunia.

Abang poslaju hulur bungkusan, dia tengok nama dan alamat dan....dunianya tiba-tiba gelap gelita.

"Ni alamat lorong depan sanalah bang, salah rumah ni", dia hulur semula pen dan bungkusan pada abang poslaju.

Abang poslaju tengok semula alamat yang tertera dan geleng kepala.

"Sori dik".

Dia berjalan masuk ke rumah dengan langkah yang longlai.

"Hahahahahhahaha", saya ketawa sungguh-sungguh dengar cerita dia.

Wednesday, October 10, 2012

Suara hati


Anak buah saya yang berumur 9 tahun menampal stiker ini di basikalnya. :D

Entah dimana dia beli pun saya taktau.

Saya tanya dia adakah dia paham maksud kata-kata stiker itu.

Dia geleng dan beritahu stiker itu kawan yang bagi.

Saya rasa saya mahu pinjam basikal dia dan pergi ke taman rekreasi berdekatan rumah :D



Thursday, August 9, 2012

Pijar


Dia suka masuk bilik saya. Kadang dia masuk untuk baring atas katil.

Kadang dia masuk untuk main game. Kadang dia masuk nak menyorok sebab tak mau buat homework.

Semalam dia masuk senyap-senyap dalam bilik saya.

5 minit kemudian dia keluar sambil menggosok kedua belah ketiaknya.

"Kenapa?"

"Adik ingat ubat ketiak, rupanya yoko-yoko acik.Panas ketiak adik".

Tak tau nak gelak atau nangis.  :D

Wednesday, August 8, 2012

Bukan harum kemboja


Saya mandikan adik dia.

Saya pakaikan seluar baju untuk adik dia.

Saya sikat rambut dan pakaikan bedak untuk adik dia.

Ok, sekarang adik dia dah hensem dan wangi.

Dia yang sedang baring sambil tahan lapar puasa sambil tengok tv panggil adik.

Adik pun terkedek-kedek pergi dapatkan dia.

Dia cium pipi adik kiri kanan dan "wangiiinyaaaa adik, macam musang".

Hah! Saya pandang dia dengan muka berkerut.

"Kenapa cakap adik wangi macam musang? Tak baiklah".

"Ada malam tu abah suluh pokok mangga pastu abah cakap, "ni bau wangi ni macam musang".

Saya rasa macam nak bukak puasa masa tu je.:D



Tuesday, August 7, 2012

Seribu persoalan


Kenapa dekat nak raya ni awak nak bocor?

Kenapa tak bulan lepas atau bulan depan saja?

Kalau saya buang awak sekarang, sapa nak teman saya tidur malam-malam?

Awak tau tak, saya ni bukan pekerja kerajaan, bonus raya entah dapat entah tidak.

 Saya sangat sayangkan awak, dah lama awak temankan saya tak kira suka atau duka.

Tapi, terpaksalah saya lepaskan awak juga kerana isi perut awak tu sangat menyeksakan hidung saya.

" Jahit balik boleh lagi Juliet".

"Mak, sekarang ni trend angry bird la mak".

Friday, August 3, 2012

Pertama


Hai! Saya Asyraf Haikal, acik kata saya lagi hensem dari Asraf Sinclair dan lagi baik dari Asyraf Muslim, bukan saya kata ya, tapi acik saya kata.

Hari ni hari lahir saya yang pertama. 


 Dan buat pertama kalinya acik bawak saya main gelongsor.


Dan juga naik buai.

Saya sangat teruja sebab ramai gadis manis pandang saya dan senyum-senyum.

Acik cakap malam nanti dia nak beli kek pisang untuk saya. 

Acikkkk!!! Sekarang trend kek angry bird lah. 

Kek angry bird mahal nak, boleh dapat baju raya acik sepasang tu.

Wednesday, July 25, 2012

Rasa itu menyakitkan

Kawan saya selalu cerita dia kena simpul biawak.

Errr...tau ke simpul biawak? Kalau taktau sila gugel :D

Kawan saya cakap dia hampir menangis tahan sakit kalau kena simpul biawak.

Kenapa di panggil simpul biawak eh? :D

Saya jarang sangat kena, setahun sekali pun tak pernah, jadi saya kurang ingat rasa sakitnya.

Kata kawan seorang lagi, dia pun selalu kena simpul biawak dan sakitnya tak tertanggung.

Kawan cerita lagi kalau dia kena simpul biawak dia akan urut kakinya dengan minyak panas dan sarungkan kaki dengan stokin waktu tidur.

Pagi tadi masa mak kejut sahur, saya tetiba rasa sakit yang amat di bahagian betis.

Saya tak mampu menggerakkan kaki selama beberapa minit dan memang rasa nak menangis.

Sebenarnya saya rasa nak menangis sebab takut tak sempat makan sahur, bukan sebab kena simpul biawak.

Saya sapu ammelt yoko yoko kat betis, barulah rasa lega sikit.

Dan sekarang saya ok,saya wira, bak kata Azizulhasni Awang  :D

Monday, July 23, 2012

Waktu yang berlalu

Masa sahur.

"Acik, nanti kita pegi pasar ramadan abang nak beli nasi ayam untuk berbuka tau".

Saya angguk saja.


Masuk pukul 1.

"Acik, abang rasa taknak nasi ayamlah, nak nasi tomato ngan ayam masak merah.

Saya angguk saja.


Masuk Asar.

"Acik, kita pegi pasar ramadan yang mana satu? Kalau dapat nasi lemak kukus pun ok gak".

Saya pandang dia. Baru hari pertama puasa macam-macam yang di mahunya.


Pergi sekolah tadi dia bersiap awal, nak berebut tempat dalam van sekolah. Katanya nak duduk depan dengan pakcik van, biar tak pening kepala.

Bila tiba bulan puasa  macam-macam perangai pelik keluar, sabarlah abang, ramadan panjang lagi ni :D


Friday, July 20, 2012

Panas dalam hujan


"Acik, kita nak bukak kedai kopi eh? "

Dan saya tak mampu nak tahan tawa.

Selalu belikan untuk ayah yang dalam paket besar tu, tapi semalam tak ada, jadi saya beli yang ini.

Dan anak buah saya sangat teruja melihatnya sebab saya gantung di dinding.

Kadang-kadang waktu petang kalau ayah tak keluar ke mana-mana dia suruh bancuh kopi radix ni untuk 
minum petang.

Petang semalam hujan dan saya tanya, "ayah nak kopi janda ke?" Errrkk...mati kalau mak dengar. :D



Tuesday, July 10, 2012

Dalam pekat malam

Dah seminggu tidur malam tak lena.

 Bukan! Bukan sebab pikirkan dia yang entah di mana. :D

Tapi sebab batuk. Yang herannya tu waktu siang ok je, bila tengah malam

batuk datang tak berhenti dan saya terpaksa susun bantal dan sandar ke dinding.

Mujur saya tidur sorang, kalau tidak kesian teman tidur saya tu terpaksa menahan

bunyi bising di tengah malam buta :D

Ubat batuk dah berbotol habis. Tapi, dalam tidur-tidur ayam gitu pun masih

sempat mimpi. Tak perlu tau saya mimpi apa :D

Malam ni harap dapat tidur dengan selesa dan bermimpi yang baik-baik saja.

Monday, July 9, 2012

Saat mulut ingin bicara


Entah mimpi apa semalam saya masak megi begini.
Selalunya saya masak megi ringkas saja.
Masak air, bila mendidih campak megi dan sedikit rempahnya, campak telur sebijik,siap.
Rasanya 2 minit pun tak sampai.

Tapi entah di timpa perasaan apa semalam saya siap potong bawang merah dan putih.
Potong sawi dan siap tumis bawang semua bagai.
Letak tomato lagi tu.

Tapi hasilnya memang superb.

Orang dalam rumah siap tanya lagi sapa yang rajin dok menumis kat dapur malam-malam. :D

Sesekali angin rajin datang beginilah jadinya. :D

Tapi, kata orang, orang malas yang suka makan megi kan, errrr......:D



Wednesday, July 4, 2012

Bagaikan mimpi

Makcik Mah, kawan mak, selalu cerita dengan mak yang dia sangat teringin untuk menjejakkkan kaki ke tanah suci sama ada untuk mengerjakan haji atau umrah.

Minggu lepas ketika mak berziarah ke rumahnya, Makcik Mah peluk mak dan berbisik menyatakan bahawa dia dan suaminya akan berlepas ke tanah suci untuk mengerjakan umrah pada 3 Julai ini.

Makcik Mah dan suami membuat persiapan tergesa-gesa kerana pemergian mereka ke tanah suci sebenarnya tidak di rancang. Pemergian mereka berdua adalah hadiah daripada anak-anak dan segalanya di uruskan oleh anak-anak.

Semalam, 3 Julai, pukul 11 pagi, Makcik Mah dan suami berlepas ke tanah suci. Makcik Mah kelihatan sangat gembira kerana hajatnya telah di penuhi oleh anak-anak.

Dan lebih kurang pukul 5 pagi tadi, mak dapat panggilan daripada salah seorang anak Makcik Mah mengatakan bahawa Makcik Mah telah meninggal dunia di Jeddah.

Dan tengah malam ini jenazah Makcik Mah berkemungkinan akan tiba ke tanah air.

Semoga rohnya di tempatkan bersama orang beriman.


Thursday, June 28, 2012

Pasang Surut


"Abang, kita kena naik sebelum pukul 7 malam".

"Kenapa?"

"Abah kan cakap kalau malam air pasang, kita tak tau berenang".

"Ha'ah la, abang lupa. Acikkkkk! Sekarang pukul berapa".

"6.30".

"Kita ada 1/2jam lagi dik".

Dan saya yang berada di tepi kolam tertawa gelihati.

Kolam renang pun ada pasang surut ke nak?

Thursday, June 7, 2012

Terhenti Di sini

Dia tengok abangnya sedang mengaji dengan nenek.

Dia pun tergesa-gesa ambik muqaddam dan rehal lalu duduk depan nenek.

Nenek tunjuk huruf dan suruh dia ikut apa yang nenek cakap.

"Alif", kata nenek.

"Alif", kata dia.

"Ba", kata nenek.

"Ba", kata dia

"Ta", kata nenek.


"Ta", kata dia.

"Tha", kata nenek

"Tha", kata dia.

"Jim", kata nenek.

Dan seperti biasa dia tidak mahu sebut huruf JIM kerana dia ingat orang mempermainkan dia kerana namanya juga JIM.

Lain kali kalau nama anak Azeem, sila jangan panggil JIM, buruk akibatnya, :D.

Tuesday, May 29, 2012

Hidup perlu berani

Ayah bawak kawan dia yang mengidap diabetes berjumpa dengan Dr.Maggot.
Kawan ayah,Pakcik Mi, seorang tauke restoran sudah mengidap diabetes berbelas tahun.
Pakcik Mi mendapat luka ketika pergi ke pasar borong. Dia terlanggar meja peniaga dan selepas 2 hari lukanya terus merebak.



Ulat2 dimasukkan kedalam luka Pakcik Mi dan kakinya dibalut selama 2hari.
Kata Pakcik Mi dia tak rasa sakit pun ketika ulat2 tu memakan lukanya.


Selepas 2 hari Pakcik Mi pergi ke klinik Dr.Maggot semula.
Itulah ulat2 yang berkerja keras memakan luka Pakcik Mi.
Good job ulat :D



Dr.Maggot membuang ulat2 tersebut.


Luka Pakcik Mi dicuci dan Dr.Maggot memberi jaminan yang Pakcik Mi boleh sembuh.
Hari ni ayah akan bawak Pakcik Mi berjumpa Dr.Maggot lagi untuk memasukkan ulat buat kali kedua.

Saya dan ayah tak dapat apa-apa komisen pun dari Dr.Maggot :D

Kami berkongsi apa yang kami tahu saja dengan kawan-kawan :D

Tapi kalau ada yang nak bagi komisen, saya berbesar hati menerimanya, rezeki jangan ditolak :D

Kalau ada yang berminat boleh layari website : www.drmaggot.com.

Atau boleh berhubung terus dengan Dr.Rosman Ahmad, 012 - 3667065,atau no kliniknya 03-61873117.

Atau boleh terus ke kliniknya di Lot 1A, Lorong Perusahaan Ringan
Batu 8 1/2, Batu Caves.

Ayah saya sangat berani sebab dia tolong Dr.Maggot masukkan ulat dalam luka Pakcik Mi.

Saya nampak ulat pun rasa menggigil :D



Friday, May 25, 2012

Cetek ilmu




Dia bagi saya.

Saya tertanya-tanya kuih apakah ini.

Agar-agar milo?

Saya pun mencuba sekeping.

Laaaaaaaaa......kuih lapis rupanya.






Monday, May 21, 2012

Bila poket koyak

 Jumaat minggu lepas saya dan kawan2 ke Singapura, atau lebih tepat ke Universal Studio.


Bas yang membawa kami dari UTM Jln Semarak hingga ke UTM Skudai.
Dari UTM Skudai kami naik bas pesiaran yang terus masuk ke USS.


Kami menginap di sini.
Murah dan selesa.


Satu bilik 4 orang, ada 4 katil bujang.
Orang luar pun boleh duduk di sini, tapi bayarannya berbeza sikit.


Pagi hari Sabtu kami sarapan dengan nasi ambeng
Pertama kali saya makan.
Sedap,cuma saya tak mampu nak habiskan.
Dulu saya ingat nasi ambeng ni untuk makan tengah hari.


Sebelum ke USS, kami singgah di Arab Street.
Ada yang nak cuba nasi beriani dan murtabak.
Katanya disinilah paling sedap dan murah

Saya tak ambik banyak gambar dalam USS sebab kepala masing2 dah pening naik macam2 permainan.
Lagipun boleh gugel sajakan.

Hari ni badan rasa penat.
Dan poket pun rabak :D

Thursday, May 17, 2012

Gerai yang mana?


Kawan belanja makan di That Little Gerai, AU5 Keramat.
Kalau datang lambat alamatnya kenalah tunggu meja kosong.

Sebenarnya boleh booking dulu tapi kami main terjah je.
Saya makan fish n chip.
Taktaulah perut saya kecik atau fish n chip ni besar sangat sebab saya ambik masa untuk menghabiskannya.


Kalau datang sini wajib cuba Big Ass burger, terbaik.
Bau aroma daging burger yang di bakar garing membangkitkan selera.
Dagingnya lembut walaupun dah sejuk.

Kalau datang bersama keluarga lebih baik booking meja dulu, kang bergaduh pulak sebab takde meja.
Macam kami yang bujang ni takpelah, boleh duduk dimana-mana.

Lepas ni nak cuba Kaw2 burger pulak, kata orang kena berbaris panjang.
Kalau gitu baik ke Mcd saja, :D

Friday, May 11, 2012

Kelu Sejuta Bahasa


"Buat pasport?"

"Ya".

"Nak gi umrah ?"

"Err.."

"Honeyyymooonnnnn la tu".

"Err.."





Thursday, April 26, 2012


Dia beli banyak pasu bunga.

Saya harap dia akan tanam bunga.

Dan saya harap dia tanam bunga tidak tumbuh lalang.

Saya akan bagi masa 2minggu untuk dia penuhkan pasu-pasu itu dengan bunga.

2minggu? Rasanya tidak cukup. 

Tak mengapalah, saya bagi masa sebulan.

Cukup sebulan nanti saya akan menjenguk ke rumah dia.

Nak pastikan pasu-pasu tu dijadikan tempat menanam bunga bukan bangku untuk duduk petang-petang.



Wednesday, March 28, 2012

3


Hari ni genap 3 tahun umur Azeem.
Semalam umi dah beli hadiah, basikal merah.

Tapi Azeem agak pelat sikit berbanding abang-abangnya.

Semalam dia tarik tangan saya dan cakap " Jim nak culo, anyakkkkkkk".
Lama saya merenung kedalam matanya, cuba mentafsir apa yang dia maksudkan.

Namun hampa. Saya tak ketemui jawapannya.
Saya bawak dia masuk dalam rumah dan suruh tunjuk apa yang dia nak.

Tanpa segan silu dia menangis meraung-raung sambil menyebut, "Culo! Culo!".
Saya ambil beberapa biji kereta mainan dan beri pada dia.

Tanpa segan silu juga dia membaling kesemua kereta tersebut kearah saya sambil menyebut "Nak Culo!"

Selalunya Azeem akan berhenti menangis jika dapat susu.
Saya cepat-cepat berlari ke dapur dan membancuh susu untuk dia sebotol penuh.

Saya beri susu pada dia dan dia menyambutnya dan secara automatik tangisannya berhenti.
"Cikkkk, tak lo, Jim nak culo".

OOOOhhhhhhhhhhh!
Baru saya paham, rupanya dia nak susu yang diletakkan sedikit milo.


Nasib anak orang, kalau anak sendiri taulah saya macam mana nak mengajarnya :D

Malam ni kena tutup lampu sejam kan? 

Tuesday, March 20, 2012

Titik Peluh


Betik yang ayah tanam di belakang rumah.
Buah sulung ni.
Manis walaupun pokoknya macam mati segan hidup tak mau :D

Ayah tak boleh makan betik semenjak mengalami sakit tulang tahun lepas.
Tapi ayah tanam untuk bagi anak-anak sebab dia selalu tengok kami beli betik.

Orang cakap tangan ayah panas sebab tanam pokok jarang nak hidup.
Tapi ayah tak peduli, dia akan tanam apa saja pokok di tanah yang sekangkang monyet itu.

Ada lagi beberapa bijik betik kat pokok yang tunggu masak nak masak.

Harap-harap jangan ada hujan ribut yang akan tumbangkan pokok betik ayah yang kurus kering tu :D


Wednesday, March 14, 2012

Racun Dan Penawar


Saya selalu bawak anak-anak buah saya keluar berjalan-jalan sebab saya tak sampai hati nak tinggalkan mereka di rumah. 

Bagi saya mereka tidak pernah menyusahkan saya malah saya sangat gembira jika mereka ada di sisi saya.
Seseorang pernah memberitahu saya bahawa tak berapa bagus saya selalu berjalan dengan anak-anak buah saya kerana takut nanti ada yang menganggap mereka anak saya dan saham saya akan jatuh.

Oh! Terima kasih pada yang mengingatkan itu.

Mereka adalah kesayangan saya dan saya serahkan soal jodoh padaNYA.
Kalau tak berjalan dengan mereka pun takde yang phewitt saya, :D

"Kalau berkahwin saya taknak anak dalam masa terdekat".

"Nak tunggu sampai berapa tahun?"

"4-5 tahun"

"Kenapa?"

"Saya tak bersedia nak memikul tanggungjawab yang berat tu".

Dan saya terus terdiam.

Pelik sungguh kawan saya ini.






Tuesday, March 13, 2012

Bukan Vanila Coklat


Tadi saya bersarapan dengan air coklat.

Saya sangat anti dengan coklat, tapi entah kenapa tadi rasa nak sangat minum air coklat.

Dan macam biasa, saya terpaksa mengambil masa yang lama untuk habiskan secawan air coklat.

Saya memang tak suka coklat, tak suka makanan yang ada kaitan dengan coklat.

Kawan saya cakap saya sangat rugi sebab tak suka coklat.

Entahlah, saya dah cuba banyak kali tapi memang tak boleh ngam dengan coklat.

Malam ni episod akhir drama Vanilla Coklat kan.

Dua hari saya berada di lokasi penggambaran drama tersebut tapi terlupa nak bergambar dengan
para pelakonnya. 

Macam mana boleh lupa tu? 

 Mungkinkah sebab judulnya ada kaitan dengan coklat? 

Pelik  :D

Monday, March 12, 2012

Kagum


Saya hairan kenapa orang ramai sangat dok berbaris.
Sampai ada yang duduk bangun duduk bangun.

Bila saya hampiri barisan tu, baru saya tau.



Rupanya orang berbaris panjang sebab nak naik benda ni.

Kagum dengan kesabaran mereka.


Wednesday, March 7, 2012

Kuning


Dia balik kampung dan bagi saya kunyit.

Banyak pulak tu.

Waduh! Nak diapakan kunyit yang banyak ini.

Mak saya jarang guna kunyit hidup waktu memasak.

Nak letak di mukakah?

Takkan nak buat jus kunyit?

"Dekat kampung takde musim buah lagi. Tu yang saya bagi kunyit. Mak saya tanam tu".

Oh! Terima kasih kawan.

Boleh bukak ladang kunyit ni. :D

Monday, March 5, 2012

Pertama dan mungkin bukan yang terakhir

Orang dah jemu makan makaron tapi saya barulah
hari Sabtu lepas dapat rasa.



Beli di Kl Sentral, RM2.50 sebijik.

Beli 4 biji sudah, bajet lari :D



Orang dah jemu naik ets KL-Ipoh, tapi saya hari Sabtu hari tu jugaklah baru dapat merasa.

Pertama kali makan makaron dan pertama kali naik ets.

Terasa macam melayang di udara :D

Wednesday, February 22, 2012

Gerak Khas


Terkejut tengok anak buah yang berusia 13tahun pakai uniform ini pagi tadi.

Hari Rabu kan ada kegiatan ko-kurikulum di sekolah.

Pandai ke dia berkawad?

 Boleh tahan ke dengan aktiviti yang agak lasak ?

Tu belum masuk bab disiplin.

"Kenapa abang tak masuk PBSM ke, pengakap ke?"

"Budak2 perempuan cakap budak kadet  macho".

Oh! Sebab itu rupanya.




Monday, February 20, 2012

Huru Hara

"Dekat tempat saya orang jadikan pes stoberi atau pandan sebagai umpan ikan".

"Pancing ikan guna pes stoberi? Macam mana dorang sangkut pes kat mata kail? Peliknya".

Dan dia ketawa berdekah-dekah.

"Pes tu di gaul dengan tepung, dan di jual RM60 per kg".

Oh! Begitu rupanya. Manalah saya tau sebab ahli keluarga saya takde yang suka memancing.

Ikan pun pandai memilih sekarang ya.

Sebenarnya saya taktau macam mana rupa pes, tapi saya gugel, dan baru saya tau pes tu macam jem.

Patutlah dia gelakkan saya.

Saya budak masih belajar.

Friday, February 17, 2012

Terbaik


Makan di kedai yang saya dah lupa di mana.

Air bandung bersama ais krim soda.

Dah banyak kedai makan saya pergi tapi jarang yang sediakan air ni.

Bagi saya sedikit masa untuk ingat balik ya :D

Thursday, February 16, 2012

Gagal


Dia lulus tapi saya tidak :C

Tapi, walaupun tak lulus saya tetap sokong Bang Najib. :D

Jangan ada yang baling telur kat saya sudah :D

Awak yang lulus tu, belanja la saya makan.

Ya, saya janji, pandai makan pandai simpan :D

Dan saya juga berjanji, biar pecah di perut jangan pecah di mulut :D

Tuesday, February 14, 2012

Jiwa Kacau


Nak cakap pun dah tak larat.

Kalau buat jugak memang sengal sungguh la. :D

Monday, February 13, 2012

Tertinggal

Dah masuk bulan kedua tahun 2012.

Banyak hal penting yang nak di kejar.



Tapi masih sempat main baling selipar.

"Apsal letak tin tu? Susahlah macam ni".



Dah lama tak naik lrt.

Sekarang ni dah guna benda serupa token ni, melilau cari lubang nak masukkan.

Sedang cuba berusaha untuk bersama kawan-kawan bergelak ketawa di sini.

Harap masa tak mencemburui saya :P

En.Penyubiru, saya aminkan doa anda, terima kasih :P